Tuesday, December 2, 2008

Setelah 51 tahun kemerdekaan, isu Ketuanan Melayu masih menjadi perhatian. Namun malangnya, perhatian diberi hanya kerana isu ini dipertikaikan oleh masyarakat lain negara ini. Lebih malang lagi, ia dipertikaikan oleh pemimpin parti komponen Barisan Nasional yang sepatutnya menjadi medium untuk menerangkan konsep sebenar Ketuanan Melayu kepada masyarakat bukan Melayu.Ironinya, pemimpin-pemimpin ini sendiri kelihatan keliru dalam pengertian prinsip ini dan mempertikaikannya secara terbuka. Tindakan mereka sudah pasti akan menjadi rujukan utama oleh pengikut-pengikut mereka dalam memperkatakan tentang isu ini. Hasilnya, masyarakay Cina di negara ini secara majoritinya akan menolak konsep ini dan menimbulkan kemarahan orang-orang Melayu.Melihat konsep ini dari sudut Tuan-Hamba bukanlah sesuatu yang biasa. Ia lebih kepada polemik politik individu tertentu yang ingin meraih sokongan masyarakat mereka dengan `memperjuangkan' nasib golongan tersebut, kononnya, tanpa menghiraukan perasaan orang-orang Melayu. Konsep ini, seperti yang telah berulang kali diterangkan, bukanlah bermaksud Orang-Orang Melayu memperhambakan kaum lain, tetapi lebih kepada bertujuan untuk menghormati Institusi Beraja Negara; Sultan atau Raja, dimana-mana sekalipun, adalah Tuan kepada Negara atau negeri tersebut. Prinsip ini diguna pakai bukan sahaja di Malaysia, tetapi di negara-negara lain di dunia yang mempunyai Raja. Contohnya, England, Brunei, Thailand dan lain-lain.Tindakan Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Dr. Chew Mei Fun mengatakan bahawa konsep Ketuanan Melayu tidak relevan bertunjangkan hujah bahawa negara ini dibangunkan oleh semua kaum adalah salah sama sekali. Tidak dapat dinafikan, ekonomi negara ini sememangnya dibangunkan oleh semua kaum, namun perkara ini tidak mungkin terjadi jika Orang-Orang Melayu tahun 1940-an hingga 1957 enggan memberi kerakyatan kepada kaum lain untuk menjadi rakyat sah Tanah Melayu. Ini adalah faktor sejarah negara yang tidak dapat dinafikan oleh mana-mana pihak.Bukanlah niat penulis untuk menghiris hati mana-mana kaum, namun hati masyarakat Melayu sendiri telah lama terhiris oleh gelagat golongan-golongan ini yang gagal menghayati dan menghargai sejarah negara. Negara ini terbentuk bukan dengan hanya coretan pena Suruhanjaya Reid, tetapi lebih dari itu. Negara ini terbentuk seperti sekarang disebabkan tolak ansur masyarakat Melayu yang sanggup menerima rakan-rakan yang berasal dari negara lain untuk menjadi warganegara, dengan syarat-syarat tertentu yang diterima pakai oleh nenek moyang kita dahulu, dan sewajarnya, semua daripada kita sudah tahu perkara ini dan tidak perlu diajar lagi, lebih-lebih lagi kepada golongan `Pemimpin'.Kerajaan MelayuSatu lagi isu yang dimainkan oleh MCA adalah mengenai Kerajaan Melayu. Penulis dengan berani mengatakan bahawa kerajaan negara ini adalah Kerajaan Melayu, sejak sebelum Merdeka lagi. Presidan MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat mengatakan bahawa Kerajaan negara ini bukanlah Kerajaan Melayu kerana pemerintahan negara diwakili oleh semua kaum.Perkataan `Kerajaan' bermaksud Pemerintahan sesebuah negara yang diketuai oleh Raja atau Sultan. Pemerintahan yang tidak mempunyai raja tidak menggunakan `kerajaan' sebagai gelaran kepada pemerintahan tersebut tetapi menggunakan kata `Pemerintah' , seperti di Indonesia. Malaysia, adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem Raja Berpelembagaan diamana Raja atau Sultan menjadi ketua pemerintah kepada negeri dan Yang Di-Pertuan Agung menjadi Ketua pemerintah kepada Negara. Dan, mungkin tidak diketahui oleh `pemimpin-pemimpin' tertentu, perkara ini juga diperakui di dalam perlembagaan negara melalui perkara 33. secara jelas, Kerajaan Malaysia adalah kerajaan Melayu kerana ia diketuai oleh YDPA yang merupakan seorang Melayu Islam, dan perkara ini tidak sepatutnya dipertikaikan lagi oleh mana-mana pihak, pemimpin atau pengikut.Walaupun pemerintahan Malaysia dijalankan oleh wakil dari semua kaum, mereka hanya menjalankan tugas bagi pihak Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong, meraka dilantik oleh YDPA, mereka juga boleh dipecat oleh YDPA. Menteri-menteri yang menjalankan tugas Eksekutif negara hanya menjalankan tugas bagi pihak YDPA kerana kuasa eksekutif sebenar terletak di tangan YDPA melalui perkara 39 Perlembagaan Persekutuan. Sekali lagi, mungkin `pemimpin-pemimpin' ini tidak mengetahui perlembagaan secara keseluruhannya.Kerajaan Melayu bukanlah bermaksud pemerintahan dijalankan oleh orang melayu semata-mata, tetapi konsep ini merujuk kepada Ketua Kerajaan iaitu YDPA, Raja dan Sultan.PenyelesaianSecara jelas, perkara berkaitan Ketuanan Melayu, Prinsip Raja Berperlembagaan, hak istimewa orang Melayu dan sebagainya tidak sepatutnya timbul jika pemimpin yang diberi mandat memahami tanggungjawab mereka untuk menereangkan perkara yang sebenar kepada masyarakat yang menjadi tanggungjawab mereka. Mereka tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan berdasarkan perasaan sendiri dengan menjadikan logik akal sebagai asas, menolak faktor sejarah, Perlembagaan dan komposisi kaum di Malaysia.Adalah menjadi tanggungjawab semua rakyat untuk memahami sejarah negara, demi menjamin kesejahteraan yang kita warisi hari ini. Kepada para pemimpin tugas anda bukan hanya mencari sokongan dengan mengguris hati orang lain, tetapi menjaga kesejahteraan dan kemakmuran negara. Fahamilah sejarah, dalami intipatinya, agar anda mampu mengeluarkan kenyataan yang lebih baik dan tidak menghiris hati mana-mana pihak. Fahamilah kedudukan Malaysia yang unik, jangan kiblatkan tindakan anda kepada arus politik luar negara kerana situasi kita berbeza.